Pangkal
JIP MPSS
Sukatan Pelajaran
JPT Kerja Kursus
Tutorial & Kuiz
Contoh Soalan
Rencana & Nota
Ujian Personaliti
Penyelidikan
Latihan Mengajar
Pautan2

Sebelum Ini Selepas Ini
DEWEY- Pemikiran Refleksi

horizontal rule

John Dewey secara amnya dihargai dengan menghasilkan tesis ilmuwan yang pertama tentang peranan pemikiran refleksi dalam pendidikan.

Dalam bukunya How We Think (1933), Dewy menghuraikan pemikiran refleksi sebagai salah satu daripada tiga pilihan bagi seseorang yang menghadapi situasi bermasalah. Pilihan pertama ialah menyatakan masalah lalu melupakannya. Pilihan kedua ialah menyatakan masalah dan mengandaikan bawaha masalah itu tidak boleh diatasi tanpa sumber tambahan. Pilihan ketiga ialah memikirkan masalah secara refleksi dan menyelesaikannya. Dewey (1933) mendefinisikan pemikiran refleksi sebagai "active, persistent, and careful consideration of any belief or supposed form of knowledge in the light of the grounds that support it and the further conclusions to which it tends" (p. 9). Dengan berfikir secara refleksi, seseorang boleh "transform a situation in which there is experienced obscurity, doubt, conflict, disturbance of some sort, into a situation that is clear, coherent, settled, harmonious" (pp. 100–101). Dengan erti kata lain, seseorng boleh mengubah suatu keadaan keraguan, konflik, dan gangguan yang dialami kepada keadaan yang nyata, koheren, tenang dan harmonis.

Dewey mengutarakan 5 fasa pemikiran refleksi. Apabila seseorang menghadapi keadaan bermasalah, kecenderungannya ialah untuk terus bertindak dalam keadaan berkenaan dan cuba menggunakan sebarang cadangan dalam minda untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pemikiran refleksi mengehendakkan seseorang menangguhkan tindakan untuk mencari dan menilai penyelesaian. Justeru itu, fasa pertama ialah pengecaman penyelesaian yang mungkin untuk mengatasi masalah berkaitan. Fasa kedua ialah 'problematize' keadaan yang dihadapi atau menyifat dan menganalisakan keadaan masalah.

Sebaik sahaja keadaan masalah dikenalpasti, pemikir refleksi memasuki fasa ketiga dan mula menjanakan hipotesis yang mungkin membawa kepada penyelesaian masalah. Hipotesis yang dijanakan dianggap sebagai tentatif dan berbentuk 'working hypoteses'. Dalam pada itu, lebih banyak data diperoleh untuk menghalusi atau menyingkir hipotesis-hipotesis yang telah dijanakan. Dalam fasa keempat, pemikir menggunakan penalaran (reasoning) untuk menentukan sama ada hipotesis berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pengetahuan sedia ada dan situasi spesifik mengenai masalah semasa adalah penting dalam fasa ini. Selepas hipotesis-hipotesis dibangunkan dengan sepenuhnya, ia diuji dalam fasa kelima dan terakhir. Pengujian melibatkan tindakan nyata oleh pemikir. Hipotesis tidak lagi berbentuk eksperimen minda (thought experiment) malah ia diaplikasikan dalam konteks masalah. Pada fasa ini, pemikir boleh menentukan sama ada aplikasi emipiris hipotesis sepadan dengan akibat-akibat teori melalui penalaran, dan sama ada masalah itu boleh diselesaikan. Jika tidak, maka proses refleksi kembali ke titik permulaan.

Walaupun menggunakan istilah fasa, namun ini tidak bererti fasa-fasa mesti menurut tertib yang ketat. Seseorang pemikir boleh berulang-ulang di satu atau dua fasa sebelum beranjak ke fasa yang lain. Keadaan di mana aktiviti-aktiviti setiap fasa berlaku adalah bergantung kepada tabiat intelek pemikir dan konteks situasi masalah.

Dewey juga mengenalpasti tiga sumber asli yang wajib untuk pemikiran refleksi: curiosity (keinginan tahu), suggestion (cadangan), dan orderliness (ketertiban). Curiosity merujuk kepada cara-cara seseorang bertindak balas kepada rangsangan. Terdapat tiga aras curiosity: organik, sosial dan intelek. Manusia menunjukkan keinginan tahu organik apabila ia menyoal tentang persekitarannya tanpa menunjukkan minat yang khas dalam bidang yang spesifik. Keinginan tahu sosial merupakan bertanya orang lain untuk memberi penjelasan fenomena-fenomena yang memerlukan jawapan fakta yang mudah dan secara terang. Penyoal tidak berminat membentuk jawapan diri sendiri tetapi betul-betul berminat akan penerangan orang lain. Ahkirnya orang yang mempunyai keinginan tahu intelek berminat untuk mencari jawapan sendiri untuk persoalan yang ia bangkitkan. 

Cadangan merujuk kepada idea-idea yang dijanakan oleh seseorang akibat pengalamannya. Cadangan boleh berubah mengikut kemudahan ia dikeluarkan, kepelbagainan, dan kedalamannya. Mengikut Dewey, untuk berfikir secara reflekif, seseorang mesti boleh dengan mudahnya menjanakan banyak cadangan untuk situasi-situasi tertentu. Cadangan haruslah beraneka jenis (agar orang itu dapat pilihan yang luas) serta mendalam (agar orang itu dapat memahami inti pati masalahnya) dan bukan superfisial, dangkal atau pada permukaan sahaja (orang itu hanya dapat menangani hal-hal remeh-temeh).

Dewey menegaskan untuk berfikir secara reflektif, seseorang seharusnya mampu mencantumkan idea-ideanya untuk membentuk satu hala tuju yang stabil ke arah kesimpulan yang bersepadu akibat daripada pemikiran konsisten dan lojik. Kebolehan ini disifatkan sebagai sumber asli yang ketiga untuk pemikiran reflektif.

horizontal rule

Jabatan Ilmu Pendidikan
Maktab Perguruan Sandakan
Beg Berkunci No. 31,
90009 Sandakan, Sabah.
Tel: 089-218610
Faks: 089-213814
Disediakan oleh:
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan, Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.
12 Mei 2001
http://www.teachersrock.net